Wednesday, January 13, 2010

Contoh ucapan perasmian majlis kolokium

Majlis Perasmian Kolokium Kebangsaan Perundangan Alam Sekitar Untuk Pembuat KeputusanKategori: 2008, Ucapan Ketua Setiausaha
Oleh :Y. Bhg. Datuk Suboh Mohd YassinTempat :
Intan Wilayah Selatan, Kluang JohorTarikh Ucapan :22 Mei 2008


Terima kasih saudara/saudari pengacara Majlis


Y.B. Tuan Tan Kok Hong
Exco Kerajaan Negeri Johor
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar
Negeri Johor

Y. Bhg. Dr. Muhamad bin Hamzah
Pengarah
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)


Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam serta maaf dari Y.B. Datuk Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar kerana beliau tidak dapat hadir di Kolokium ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Izinkan saya menyampaikan ucapan pembukaan dan perasmian bagi pihak beliau.


Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

2. Saya ingin menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izinNya jua, dapat kita bersama-sama dalam Kolokium Kebangsaan Perundangan Alam Sekitar bagi Pembuat Keputusan pada pagi ini. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Y.B. Tuan Tan Kok Hong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Johor di atas kesudian beliau serta komitmen yang diberikan dalam menjayakan kolokium ini.

3. Di kesempatan ini juga, saya mengucap tahniah kepada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di atas inisiatif mereka dalam usaha meningkatkan kesedaran serta kefahaman ahli-ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta pegawai-pegawai awam dalam pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar melalui program-program pembangunan keupayaan. Adalah menjadi harapan saya dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar agar usaha seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi kepada kumpulan-kumpulan sasar (target groups) di masa-masa akan datang.

4. Kolokium Kebangsaan Perundangan Alam Sekitar yang diadakan pada hari ini sungguh penting dan bermakna kerana kita sekarang berada di suatu persimpangan di antara kehendak masyarakat untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dengan pemeliharaan alam sekitar. Ini merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi dalam mencapai keseimbangan di antara pembangunan dengan alam sekitar. Oleh yang demikian, kita bukan sahaja perlu memastikan aspek perancangan yang rapi dan perlaksanaan yang berkesan dititikberatkan, malah yang lebih penting, aspek pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan alam sekitar diberi keutamaan dalam usaha mencapai matlamat pembangunan lestari.

Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

5. Pada hari ini masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, penebangan hutan yang tidak terkawal atau secara haram, pengurangan sumber semula jadi dan sebagainya, telah mengakibatkan berlaku dan hilangnya ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Tragedi tanah runtuh, banjir kilat, hujan asid, pencemaran udara, air dan darat, pemanasan global; dan sebagainya adalah kesan ketidakstabilan ekosistem yang berpunca daripada aktiviti manusia yang sering kali dikaitkan dengan ‘pembangunan’. Isu alam sekitar, khususnya penjagaan kebersihan dan kualiti air,udara, tanah dan sungai merupakan antara cabaran-cabaran alam sekitar yang perlu dihadapi dan ditangani oleh kita semua.

6. Pencemaran bukan sahaja berpunca daripada aktiviti-aktiviti ekonomi seperti pertanian dan pembalakan haram tetapi juga dari aktiviti-aktiviti penduduk-penduduk kampung yang tinggal di sepanjang sungai yang masih menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan sampah-sarap. Pencemaran sungai bukan sahaja mengakibatkan ketidakselesaan tetapi boleh memudaratkan kesihatan, khususnya kepada penduduk-penduduk yang tinggal di sepanjang sungai yang tercemar. Ini disebabkan masih banyak kawasan perkampungan yang bergantung kepada sungai-sungai bukan sahaja untuk sumber air tetapi untuk sumber makanan dan pendapatan.

7. Kerana itu, permasalahan-permasalahan ini telah menjadi topik perbincangan hangat oleh setiap lapisan masyarakat. Kerajaan perlu sentiasa berusaha mengambil pelbagai langkah dan tindakan wajar untuk memastikan keadaan persekitaran sentiasa sihat dan bersih. Walau bagaimanapun, adakalanya usaha yang dijalankan masih tidak mencukupi kerana sifat sesetengah golongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab atau lebih mementingkan diri sendiri dan keuntungan. Oleh itu, pendekatan pemahaman dan kesedaran awam di kalangan rakyat mengenai pemeliharaan alam sekitar perlu ditingkatkan.

Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

8. Sejak kebelakangan ini, fenomena pemanasan global sering dikaitkan dengan pelbagai bencana alam. Kenaikan suhu akan mencairkan ais di kutub dan meningkatkan paras air laut. Dijangka aras laut akan naik dari 28cm ke 43cm di akhir abad ini. Peningkatan aras laut pula mampu menghasilkan gelombang ombak ganas yang mengancam struktur garis pantai dengan hakisan, serta pemusnahan zon penampan paya bakau yang mengakibatkan kerosakan habitat asli serta kehidupan akuatik seperti ketam, ikan, udang, terumbu karang, dan tumbuhan laut.

9. Laporan Keempat Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) telah mengesahkan perubahan iklim berlaku akibat dari aktiviti-aktiviti manusia seperti perindustrian, pembersihan hutan dan lain-lain. Laporan berkenaan menyatakan bahawa tahun 1995 hingga tahun 2006 merupakan tahun-tahun yang terpanas pernah dialami sejak tahun 1850. IPCC mengunjurkan bahawa dalam masa dua dekad akan datang, suhu dijangkakan akan meningkat sebanyak 0.2 darjah Celsius bagi setiap dekad akan berlaku. Kenaikan suhu sudah pasti akan memberikan kesan kepada kehidupan manusia dan juga alam sekitar.

10. Bagi Malaysia, kajian telah menunjukkan bahawa sekiranya suhu purata tahunan meningkat kepada 31 darjah Celsius hasil getah akan berkurangan di antara 3% hingga 15%. Begitu juga dengan tanaman padi di mana pengurangan hasil dianggarkan di antara 9% hingga 10% bagi setiap kenaikan satu darjah Celsius. Ini tidak termasuk kesan kepada sektor lain seperti sumber air, kawasan pantai dan juga penggunaan sumber tenaga.

11. Kesedaran mengenai ancaman ini perlu disampaikan kepada masyarakat supaya mereka bersedia dan dapat bertindak berdasarkan keadaan tertentu.

Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

12. Satu lagi perkara yang saya ingin ketengahkan ialah penguatkuasaan. Kita sering mengharapkan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani segala bentuk kesalahan alam sekitar seperti aktiviti pencemaran, pemotongan hutan dan pengondolan bukit. Pada anggapan kita, sekiranya aktiviti penguatkuasaan dipertingkatkan, segala masalah alam sekitar akan hilang daripada pandangan kita. Oleh itu apabila terdapat pencemaran alam sekitar dilaporkan di sana sini, kita terus menuding jaring kepada jabatan Kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan serta menuduh mereka tidak mengambil tindakan atau berdiam diri sahaja. Malah sering terkeluar tohmahan bahawa agensi penguatkuasaan sering tidur atau disogok rasuah. Tetapi kita lupa bahawa penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk membendung pencemaran alam sekitar tanpa kerjasama dan penglibatan masyarakat. Setiap pegawai penguat kuasa tidak mampu untuk berada di setiap pelusuk negara pada setiap masa untuk menangkap mereka yang tidak bertanggungjawab. Yang lebih efektif pada pendapat saya, ialah sikap dan komitmen masyarakat.

13. Setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda, berpendidikan tinggi atau tidak, perlu berganding bahu dan bersatu tenaga untuk memulihara dan melindungi alam sekitar. Kita hidup dalam lingkungan alam sekitar yang sama. Bernafas dalam udara yang sama dan menggunakan sumber asli yang sama. Pembangunan dan kemajuan fizikal, sosial dan ekonomi tidak bermakna lagi sekiranya kita gagal mengekalkan alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif. Dalam erti kata yang lain tidak ada gunanya menjadi kaya-raya, sekiranya kesihatan dan kualiti hidup kita terjejas.

14. Hakikatnya ialah kesedaran ke atas pemuliharaan alam sekitar masih kurang walaupun pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan. Peranan media massa sebagai agen penyebar maklumat perlu juga diperluaskan. Sokongan dan kerjasama sektor swasta dan NGO memang digalakkan. Aktiviti-aktiviti pendedahan mengenai kepentingan alam sekitar akan diperbanyakkan di peringkat sekolah, IPT dan juga di kalangan masyarakat. Sektor perindustrian dan pertanian juga mempunyai peranan dan dikehendaki mengamalkan teknologi dan pengeluaran bersih yang mesra alam serta memastikan pembuangan sisa dilakukan secara terkawal dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Saya memandang berat tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang terlibat dalam kegiatan pembuangan sisa secara haram. Ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar malah membahayakan kesihatan penduduk setempat.

15. Kementerian dan jabatan yang berkaitan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya secara bersepadu bagi mengelak peristiwa yang demikian daripada berulang. Kita juga harus membuat penilaian tentang keberkesanan dasar, undang-undang atau garis panduan yang sedia ada, dengan tujuan untuk mengambil tindakan mengemaskinikan apa jua yang perlu, demi untuk mengelakkan pihak-pihak tertentu, mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi atau circumvent kelemahan tertentu yang mungkin terdapat.

Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

16. Kita harus menyedari bahawa Malaysia merupakan bumi yang bertuah kerana Malaysia bukan sahaja aman, sejahtera, makmur tetapi juga dianugerahkan dengan sumber asli dan alam semula jadi yang tidak ternilai. Oleh itu, kita perlu bersyukur kepada Allah s.w.t. dengan memastikan sumber asli digunakan dengan lestari di samping memelihara alam sekitar kita. Malahan Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang kaya dengan biodiversiti di dunia. Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang membangun, namun jika dibandingkan kemudahan serta infrastruktur di negara-negara maju, kita boleh dikatakan setanding dengan mereka. Tetapi apa yang menyedihkan ialah sikap kita masih kurang membangun dari segi pemeliharaan alam sekitar. Masih terdapat mereka yang kurang peka tentang betapa pentingnya alam sekitar kepada kesejahteraan hidup kita.

17. Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah merancang program jangka pendek dan jangka panjang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian telah diminta mengatur program ‘turun ke padang” untuk mengetahui keadaan sebenar. Tindakan bersepadu dengan pihak-pihak yang berkaitan termasuk masyarakat setempat perlu dipergiatkan. Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta kerjasama dan sokongan jabatan-jabatan Kerajaan lain termasuk Pihak Berkuasa Tempatan untuk membantu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menjayakan program ini.

Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

18. Tidak dinafikan, penguatkuasaan yang tegas serta perundangan yang ketat boleh membantu Kerajaan menangani perbuatan-perbuatan yang mencemarkan alam sekitar. Peranan instrumen perundangan dan penguatkuasaannya dalam pemeliharaan alam sekitar adalah penting. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu mengharapkan instrumen tersebut semata-mata untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Instrumen perundangan perlu disusuli dengan promosi minda lestari dan komitmen yang melibatkan faktor dalaman - pegangan hidup serta fahaman agama. Ini kerana penguatkuasaan memerlukan belanja dan sumber yang besar selain memakan masa untuk disabitkan kesalahan. Terdapat juga hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang disabitkan tidak menghalang pesalah dari mengulangi kesalahan yang dilakukan sehingga menyebabkan alam sekitar terus dicemari.

19. Saya yakin banyak isu-isu alam sekitar akan dapat ditangani dengan berkesan melalui pendekatan meningkatkan kesedaran alam sekitar dan penglibatan masyarakat dalam usaha-usaha tersebut. Pendekatan ini bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang kepentingan penjagaan dan perlindungan alam sekitar tetapi juga dapat mengurangkan ataupun mengelakkan perbelanjaan kerajaan untuk pemulihan kerosakan atau pencemaran ke atas alam sekitar kita.

20. Untuk memastikan usaha-usaha tersebut berkesan dalam jangka masa panjang, program kesedaran ini perlu diadakan secara berterusan serta melibatkan masyarakat setempat. Kita perlu memainkan peranan kita dalam meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa alam sekitar berkait dengan ekosistem dan kehidupan.

Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

21. Sudah tiba masanya kita meletakkan kepentingan alam sekitar sebagai agenda utama dalam kehidupan kita serta berusaha bersama-sama untuk menyelamatkan harta yang tidak ternilai ini daripada terus dimusnahkan. Penglibatan segenap lapisan masyarakat adalah penting untuk memastikan kejayaan kempen dan yang lebih utama, kejayaan menerapkan nilai-nilai sayangkan alam sekitar demi generasi akan datang.

22. Pada masa ini, Kerajaan telah menggubal pelbagai dasar, perundangan termasuk peraturan-peraturannya bagi meningkatkan tadbir urus alam sekitar di negara ini. Di peringkat Persekutuan, terdapat beberapa perundangan yang berkaitan dengan alam sekitar seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling, Akta Perhutanan Negara, Akta Perlindungan Hidupan Liar di samping pelbagai dasar dan garis panduan seperti Dasar Pembangunan Negara, Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Perhutanan Negara dan Garis Panduan Pembangunan Pulau-pulau dan Tanah Tinggi. Dasar-dasar dan garis panduan sedia ada perlu dijadikan panduan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan sumber semula jadi digunakan dengan lestari di samping alam sekitar kita dipelihara.

Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

23. Sekiranya semua pihak mematuhi semua perundangan sedia ada, insya-Allahlah tidak akan timbul pencemaran-pencemaran yang berlaku di persekitaran kita. Pengabaian aspek alam sekitar dalam pembangunan telah menyumbang kepada kemusnahan sehingga memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup. Dengan ini jelaslah bahawa kita perlu mempertingkatkan lagi perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang serta pematuhannya seperti mana yang sepatutnya.

24. Sehubungan dengan itu, Y. Bhg Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan sebagai Pembuat Keputusan diharap terus memainkan peranan penting untuk memastikan persekitaran kita dapat terus dipelihara di samping mengecap pembangunan yang diinginkan. Perundangan sedia ada perlu disesuaikan dengan keadaan semasa. Sebagai contoh, hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan perlu dipinda agar tidak dipandang remeh oleh penjenayah-penjenayah alam sekitar. Kita perlu mengambil tindakan secara bersepadu dan tegas dalam menangani pencemaran alam sekitar.

25. Kita telah dipertanggungjawab oleh generasi akan datang untuk memelihara alam sekitar dan menggunakan sumber semula jadi yang dipinjamkan secara lestari sebagaimana generasi sebelum mewariskan kepada kita. Oleh yang demikian, saya amat berharap usaha-usaha untuk membudayakan masyarakat, bukan sahaja, untuk mematuhi undang-undang berkaitan alam sekitar, malah untuk cintakan alam sekitar terus dilaksanakan sejajar dengan pembangunan lestari negara.

Y. Bhg Dato-Dato/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

26. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas di atas kerjasama semua pihak terutamanya Y.B Tuan Tan Kok Hong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Johor dan INTAN dalam menjayakan kolokium ini. Saya berharap para peserta dapat memanfaatkan apa-apa dibentangkan di dalam kolokium ini dengan mempraktikkan serta mengembangkan ilmu tersebut supaya warisan negara dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.

27. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Kolokium Kebangsaan Perundangan Alam Sekitar bagi Pembuat Keputusan.


Sekian. Terima kasih
Name


-->

No comments:

Post a Comment

Kalendar


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...