buy now

Saturday, November 5, 2011

Rasuah, masyarakat dan negara

Klik untuk dapat extra income SEKARANG!! dijamin mudah!


RASUAH, SALAH GUNA KUASA RUNTUHKAN MORAL NEGARA





Oleh : Berita Harian
10/10/2010

Kes rasuah membabitkan segelintir kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk utama negara menghangatkan kembali isu penyelewengan kuasa dalam sektor awam, khususnya di kalangan penguat kuasa. Wartawan Edisi Mingguan, AHMAD NAIM TAHIR dan MOHD AZIS NGAH mendapatkan Timbalan Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan dan Presiden CUEPACS, Omar Osman untuk membincangkan isu ini




BAGAIMANA TI-M melihat isu penyelewengan kuasa dan rasuah dalam konteks Malaysia.TI-M memandang berat dan mengharapkan isu penyelewengan kuasa dan rasuah ditangani bersama secara tuntas dan lebih sistematik lagi. Kami merakamkan tahniah atas kerja kuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menyentuh kes segelintir kakitangan imigresen baru-baru ini, beberapa persoalan timbul antaranya berapa ramai kakitangan terbabit dan apakah kakitangan atasan saja serta berapa lama penyelewengan kuasa dan rasuah terjadi?

Apakah tidak ada usaha dalaman (imigresen sendiri) menangani soal meningkatkan integriti kakitangan mereka dan tidakkah pihak bertanggungjawab imigresen melihat perkara ini adalah barah dalam organisasi yang perlu dipulihkan, malah dicegah terlebih dulu? Cukupkah usaha memindahkan kakitangan kerana tidakkah nanti perkara sebegini merebak ke tempat lain? Apakah rasuah kewangan saja berlaku atau membabitkan seks? Apakah kita berpuas hati usaha pemulihan, khususnya berkaitan jati diri kakitangan terbabit dan apakah usaha pencegahan seterusnya untuk jangka panjang dan jangka pendek?

Dilaporkan mereka yang terbabit ialah pegawai muda dan lama. Tentu ini memberi imej dan implikasi buruk bukan saja terhadap imigresen dan institusi kakitangan beruniform, malah negara yang ingin membuat transformasi bebas rasuah serta menerapkan imej kakitangan kerajaan yang berintegriti tinggi setiap masa.
Dengan imej kakitangan dan pegawai beruniform ditangkap rasuah dan penyelewengan kuasa, akan merudumkan Indeks Persepsi Rasuah negara pada peringkat antarabangsa. Penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk diri, keluarga atau kerabat sendiri. Dalam pemikiran Melayu, ‘elok kain eloklah coraknya, elok pemimpin eloklah negerinya.’ Penulis terkenal Austria, Karl Kraus (1874-1936) mengingatkan rasuah lebih buruk daripada pelacuran yang meruntuhkan moral kerana rasuah meruntuhkan moral negara.

Sejauh mana kita berjaya menangani tanggungjawab ini selepas menjenama semula SPRM serta kewujudan Insititut Integriti Malaysia (IIM) dan Pelan Integriti Nasional (PIN) sejak 2004.
PIN dilancarkan selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020, iaitu membentuk masyarakat yang kukuh ciri moral dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh serta ditunjangi budi pekerti luhur. Ia merangkumi strategi untuk pemantapan amalan integriti dan etika baik, tentunya termasuk membanteras rasuah dan penyelewengan kuasa melalui lapan komponen iaitu keluarga, komuniti, masyarakat, agama, ekonomi, sosiobudaya, politik dan pentadbiran.

Tadbir urus yang baik adalah kunci utama kejayaan polisi dan inisiatif kerajaan. Program Transformasi Kerajaan (GTP) berkaitan rasuah menunjukkan kemajuan membanggakan, antara lain meluluskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, penyenaraian penganugerahan kontrak kerajaan melalui halaman procurement (perolehan), pekeliling untuk menyelesaikan kes rasuah dalam masa 12 bulan, melaksanakan kerjasama integriti pelaksana projek, menyenaraikan nama individu terbabit rasuah menerusi laman web SPRM dan surat pekeliling mengenai panduan ‘surat sokongan’ daripada pihak bersangkutan. Dalam NKRA menerusi enam terasnya, antara lain fokus berkaitan rasuah ialah semua perolehan kerajaan menggunakan tender terbuka atau tender terhad bagi memerangi rasuah.

Jika jenayah ini boleh dihapuskan, mengapa ia masih berterusan sehingga agensi seperti SPRM dilihat gagal memenuhi tanggungjawab dan menjadi sasaran kritikan masyarakat.

Rasuah boleh dihapuskan jika semua pihak terbabit, ia bukan tugas Perdana Menteri seorang atau SPRM. Dengan sumber kepakaran dan kewangan terhad, tentu agak mustahil SPRM menangani semua kes rasuah secara terperinci. Semua pihak perlu memikul tanggungjawab murni ini dengan lebih gigih dan iltizam berterusan sepanjang hayat. Pembabitan proaktif semua agensi kerajaan dan institusi pendidikan serta institusi agama dan budaya, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya belia dan wanita, selain media amat diperlukan dalam memberi maklumat terperinci serta semasa supaya dapat meningkatkan kesedaran dan keinsafan. Celik nurani sifar rasuah harus dirancang dan dilaksanakan dengan lebih teratur tanpa bermusim. Usaha pencegahan dan pendidikan perlu diselaras dan dipertingkatkan.

Bagaimana dengan tanggapan masyarakat hanya ‘ikan bilis’ jadi sasaran, bukan jerung.

Mengikut SPRM, agensi tidak mengenal warna kulit dan perbezaan politik, bertindak berdasarkan aduan dan bukti. Kita harap apa dikata dikotakan. Kita menyambut baik jika lebih banyak ‘jerung’ di bawa ke pengadilan. Suatu ketika, beberapa ketua jabatan dan ‘jerung’ sederhana besar direman kerana rasuah. Walaupun tidak ada perbandingan bilangan bilis dan jerung, persepsi awam inginkan banyak lagi jerung dihadapkan ke mahkamah.

Ada orang berkata, hanya penerima rasuah yang dikenakan hukuman, manakala pemberi rasuah bebas dan ia memberikan gambaran memberi rasuah tidak salah, apa yang salah ialah menerima rasuah.

Dalam hadis riwayat al-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah mengutuk pemberi dan penerima rasuah serta pengantara dalam urusan rasuah. Pemberi rasuah dan penerima adalah penghuni neraka.” Gejala ini amalan buruk dan menggambarkan betapa longgar nilai moral masyarakat serta memperlihatkan amalan tadbir urus yang tidak cekap. Bagi memberi perhatian saksama kepada pemberi dan penerima rasuah, kita perlu memastikan kedua-dua pihak dibawa untuk pengadilan, hukuman setimpal (lebih berat kepada pemberi), hebahan umum dibuat secara saksama kepada pemberi dan penerima rasuah, pemulihan bersama kepada pemberi dan penerima rasuah secara teratur dan sistematik, pemantauan saksama juga kepada bekas penerima dan pemberi rasuah. Apakah hukumannya sama bagi pemberi dan penerima rasuah?

Antara langkah dicadangkan bagi membanteras rasuah ialah tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri selain menukarkan tempat bertugas selepas tempoh tertentu. Adakah ia sesuai.

Apa saja usaha mencegah salah laku penjawat awam serta menghukum untuk menginsaf kakitangan lain dialu-alukan. Amalan menukarkan tempat bertugas wajar agar bukan saja mencegah salah laku kakitangan itu, malah meningkatkan pendedahan dan kemahiran kakitangan berkenaan. Dicadangkan juga mewujudkan jawatan pegawai integriti/unit integriti dan pelan integriti di jabatan masing-masing, kenaikan pangkat dipastikan bebas rasuah, dimestikan kakitangan mengisytihar aset dan hutang setiap enam bulan kepada ketua terdekat, pemantauan cara perbelanjaan dan gaya hidup kakitangan, pendedahan dan kursus wajib pencegahan rasuah serta penghayatan nilai murni dan agama khususnya sadiq, amanah, tabligh, fatanah. Setiap kakitangan atau ketua mereka perlu lebih putih. Tindakan di bawah ISA harus juga dilaksanakan. Mungkin perlu kita renungkan bersama hukuman pesalah rasuah di China, iaitu mati mandatori. Adakah hukuman drastik ini mampu membanteras rasuah di negara kita?

Tingkat integriti kakitangan di kawasan panas

KES beberapa kakitangan imigresen ditangkap kerana disyaki menerima rasuah seolah-olah menguatkan lagi tanggapan umum gejala itu lumrah dalam perkhidmatan awam.

CUEPACS memandang serius apa yang berlaku di pintu masuk negara kerana penjawat awam daripada peringkat bawahan hingga pegawai ialah pemegang amanat penting. Mereka perlu pastikan pihak yang masuk tidak mengganggu keselamatan negara. Mereka terdedah kepada pelbagai faktor dan CUEPACS juga terkejut dengan pendedahan ini. Walaupun Jabatan Imigresen menjadi fokus, banyak lagi agensi terkena tempias. Apabila berlaku kes seperti ini, kita harap persepsi awam janganlah fokus negatif kepada semua agensi kerajaan, memang betul kata orang kerana seekor kerbau bawa lumpur, semua terpalit. Tanggapan itu tidak begitu tepat kerana bukan semua tidak bertanggungjawab. Kita harap mereka di kawasan terdedah dan berisiko sentiasa menjaga integriti dan tanggungjawab. Saya minta mereka menanam semangat cintakan negara dan jangan ambil mudah soal keselamatan.

Ada yang mahu penjawat awam disyaki rasuah dipecat berbanding dipindahkan ke jabatan lain.

Apa saja kesalahan mesti disiasat, dipanggil menghadap dan jabatan perlu mainkan peranan. Bagi kes jenayah, mereka diserahkan kepada polis atau SPRM, melalui proses perundangan dan kalau perlu dibuang kerja, mereka kena terima. Tindakan pindah ke tempat lain memang wajar sebagai langkah awal dan gantikan mereka dengan pasukan baru supaya kesilapan tidak berulang. Selepas siasatan, baru tindakan seterusnya dikenakan. Apabila babitkan rasuah, kena bawa ke pengadilan. Jika bersalah, mereka akan dikenakan tindakan tegas, gantung kerja, buang kerja atau apa saja tindakan sesuai. Mungkin yang ditukarkan tidak terbabit, cuma untuk membersihkan imej, kalau tidak bersalah mereka boleh teruskan kerja. Kalau kekalkan saki-baki, mungkin mereka masih ada hubungan dengan mana-mana pihak dan boleh timbulkan masalah kepada pasukan baru dan senang kawal serta pulihkan keadaan. Mungkin ada alasan mereka tidak tahu kegiatan salah laku, jawapan itu tidak boleh diterima kerana mereka bukan baru sehari dua bekerja di situ. Banyak saluran boleh diguna untuk dedahkan maklumat seperti ketika mesyuarat atau pihak atasan, yang penting jangan subahat.

Apakah pandangan saudara terhadap cadangan SPRM menempatkan pegawainya sebagai pengintip di kawasan panas yang dikenal pasti bagi membanteras gejala rasuah.

Ia bagus dan sesuai dalam konteks hapuskan rasuah di jabatan yang berkepentingan. Setakat mana spy boleh berkhidmat dan di mana patut berada bergantung kepada kebijaksanaan SPRM. Spy tidak akan menahan dan menangkap pesalah, tetapi maklumat risikan yang diperoleh penting untuk tindakan susulan. Saya nampak itu penting untuk menangani rasuah kerana mesti ada pemberi dan penerima, maknanya ada pergerakan babitkan banyak pihak. Ia perlu diperluaskan kepada agensi lain terutama yang banyak dapat aduan atau berdepan pihak luar atau orang ramai yang memungkinkan wujudnya peluang untuk rasuah khasnya agensi berkaitan urusan kewangan. Ini satu sistem yang boleh dipraktikkan dan pasti akan berkesan.

Bagaimana pula dengan cadangan tindakan ISA diambil terhadap kakitangan Jabatan Imigresen dan orang tengah yang ditahan kerana rasuah.

Tindakan ISA terlalu agresif kerana perkara itu masih dalam siasatan. Ini lebih kepada salah guna kuasa dan kedudukan, tidak begitu serius berbanding ancaman keselamatan lain. Mungkin ada pertimbangan lain. Jika terbukti salah, mereka boleh dibuang kerja, itupun cukup berkesan kerana pesalah hilang semua hak sebagai penjawat awam termasuk pencen. Rekod buruk juga susah nak minta kerja.

Kenapa rasuah kakitangan awam masih berterusan. Apakah kerana gaji kecil.

Rasuah berlaku di mana saja. Punca pertama keinginan berbelanja melebihi kemampuan. Pendapatan kecil tetapi berlagak seperti orang mampu, apabila tidak mampu dan tak boleh kawal nafsu, mula lupa diri dan bertindak di bawah kawalan akal. Pada masa itulah timbul peluang kerana kita tahu sindiket rasuah sentiasa menunggu peluang terbuka. Jika ada yang tidak boleh kawal nafsu, dialah jadi sasaran. Kalau setakat mampu beli Proton, beli rumah tiga bilik, mana logik samakan dengan orang yang mampu beli BMW, banglo beratus ribu dan berbelanja mewah. Kalau hati tidak boleh kawal ditambah pula iman tipis, susahlah sebab mereka sanggup buat apa saja untuk capai hajat. Ketika itulah ada pihak bagi peluang untuk kaya. Kalau bergantung kepada kenaikan gaji empat tahun sekali, memang tidak cukup tetapi kita kena berhemah dan bijak berbelanja; kalau berminat, buat kerja lebih masa selepas waktu bekerja. Jangan rapat dengan orang yang ada kepentingan, mereka sentiasa ada duit hendak ‘beli’ kita, sebab tahu kita boleh mudahkan urusan.

Akhir sekali, perlukah tapisan lebih ketat dibuat sebelum kerajaan membuat pengambilan baru kakitangan awam bagi menghalang penjawat awam daripada terbabit rasuah.

Sistem yang terbabit dalam jabatan penguatkuasaan undang-undang perlu diteliti kelayakan mereka. Jika Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) wajib kursus dua tahun, kita boleh guna pendekatan sama terhadap anggota lain kerana sekarang cuma kursus jangka pendek. Keduanya, tidak boleh terlalu lama bertugas di satu kawasan, maksimum tiga tahun. Kadangkala pertukaran pun cuma pada peringkat bawahan. Hal ini perlu diselesaikan kerana pihak atasan adalah penentu dalam jabatan dan perlu dielak daripada menjadi sasaran mudah sindiket. Jika tidak ditukar wujud situasi orang baru jangan bersuara, kami lebih tahu apa yang perlu dibuat. Jika semua orang baru, mereka lebih senang bekerjasama. Elak sikap terlalu rapat dengan orang luar hinggakan mereka tidak hormat anggota bawahan dan hanya berurusan dengan pegawai atasan. Setakat ini, tak ada satu sistem pertukaran tetap mengikut tempoh tertentu.

No comments:

Post a Comment

Kalendar


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...