buy now

Thursday, July 12, 2012

akta hasutan dalam Perlembagaan Persekutuan


Akta Keharmonian Nasional ganti Akta Hasutan 1948: PM



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamim kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.
"Dengan adanya akta baharu ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara. Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama," katanya pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail.
Najib berkata, tanpa keseimbangan yang ideal, ia mungkin merencatkan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif atau membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremisme.
Katanya, keseimbangan itu perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada maklumat yang boleh menyebabkan limpahan maklumat, taraf pendidikan dan sosio ekonomi yang semakin tinggi serta tahap harapan yang semakin meningkat.
"Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama," katanya.
Beliau berkata, rang undang-undang baharu itu akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan peruntukan akta itu tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan seperti mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.
"Ia juga meliputi perbuatan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan mempersoal apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang dilindungi dalam Perlembagaan," katanya.
Najib berkata, sebelum menggubal rang undang-undang Keharmonian Nasional ini kerajaan ingin menjemput pandangan dan pendapat rakyat Malaysia sama ada individu mahupun pertubuhan mengenai perkara yang perlu ditangani dalam merangka perundangan ini.
"Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk mendapat sudut pandangan semua 'stakeholder' (pihak berkepentingan)," katanya.
Najib berkata, kerajaan sedar ada pihak menganggap Akta Hasutan sebagai alat untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan, namun menegaskan anggapan itu tidak berasas sama sekali.
"Lantaran itu, peruntukan baharu ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan. Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan dikendalikan sendiri oleh pihak kehakiman melalui peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah sedia ada," katanya.
Najib juga berkata, kerjaan mengambil keputusan menguatkuasakan serta-merta semua akta baharu dan pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang yang diumumkan dalam Pelan Transformasi Politik termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti.
"Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea.
"Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Jabatan Peguam Negara boleh diibaratkan sebagai kompas yang memberi petunjuk bagi memastikan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sentiasa dijunjung.
"Saya amat berbangga kerana warga Jabatan Peguam Negara tidak pernah leka dengan sanjungan dan pujian serta tidak melatah setiap kali diasak dengan tohmahan dan fitnah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Kalendar


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...